Kementerian Kesihatan Malaysia
INFLUENZA A (H1N1)
SOALAN-SOALAN LAZIM
1. Apakah itu penyakit Influenza A (H1N1)?
Influenza A (H1N1) adalah sejenis penyakit berjangkit yang disebabkan oleh sejenis virus baru. Virus ini terhasil dari mutasi gene virus influenza babi, burung dan manusia.
2. Negara mana yang dilanda penyakit ini?
Maklumat yang ada pada masa ini menunjukkan bahawa kes yang terawal dijangkiti virus ini dilaporkan dari Mexico dan Amerika Syarikat pada April 2009 dan telah terus menular ke negara-negara lain. Untuk maklumat terkini tentang negara-negara yang dilanda penyakit ini, sila rujuk laman web www.moh.gov.my dan www.who.int.
3. Apakah tanda dan gejala penyakit ini?
Gejala awal jangkitan ini adalah mirip selesema, seperti demam, batuk, sakit kepala, sakit badan, sakit tekak, selesema dan kadangkala muntah-muntah atau cirit birit.
4. Bagaimana kita boleh dijangkiti?
Virus ini berjangkit apabila pesakit batuk atau bersin. Titisan cecair pernafasan yang keluar akan terkena tangan pesakit, permukaanpermukaan (surfaces) atau tersebar ke udara. Seterusnya, seseorang akan dijangkiti sama ada melalui pernafasan; melalui sentuhan dengan tangan pesakit atau menyentuh permukaan-permukaan yang tercemar dengan titisan cecair pesakit.
5. Pada masa ini, adakah jangkitan berlaku daripada babi kepada manusia?
Tidak
6. Apakah nasihat kepada orang yang dijangkiti virus ini?
• SEGERA dapatkan rawatan daripada doktor.
• Untuk mengelakkan jangkitan kepada orang lain, tutup mulut dengan tisu atau sapu tangan apabila batuk dan bersin. Kerap mencuci tangan dengan air dan sabun.
• Tinggal di rumah dan hadkan hubungan dengan orang lain. Elak menyentuh mata, hidung dan mulut.
• Elakkan daripada pergi ke tempat awam yang sesak.
• Jangan gunakan pengangkutan awam untuk menggelakkan jangkitan kepada orang lain.
7. Berapa lamakah orang yang dijangkiti boleh menyebarkan virus ini?
• Selagi mereka mempunyai gejala penyakit ini. Biasanya sehingga 7 hari dari tarikh mula mengalami gejala penyakit ini.
• Kanak-kanak boleh menyebarkan penyakit ini bagi tempoh yang lebih lama.
8. Bagaimana anda boleh menghindari jangkitan penyakit ini?
• Jauhi orang yang nampak tidak sihat dan menghidapi demam dan batuk.
• Kerap cuci tangan dengan air dan sabun.
• Elak menyentuh muka, khususnya hidung dan mulut untuk mengurangkan kemungkinan jangkitan.
• Jika anda berada di tempat yang dilanda penyakit ini, elakkan berada di tempat awam yang sesak.
• Ketahui situasi semasa penyakit ini dan langkah-langkah pencegahan yang perlu diambil.
• Amalkan cara hidup sihat. Dapatkan tidur yang cukup, makan secara sihat dan lakukan aktiviti fizikal.
B. Berkenaan Vaksin
1. Terdapatkah vaksin untuk melindungi diri daripada Influenza A (H1N1)?
Belum ada.
2. Adakah vaksin baru akan dicipta?
Ya. WHO sedang berusaha ke arah itu.
3. Bilakah vaksin yang sesuai akan dihasilkan?
Mengikut WHO, ini akan mengambil masa antara 4 hingga 6 bulan.
C. Berkenaan Rawatan
1. Terdapatkah ubat untuk merawat penyakit ini?
Kementerian Kesihatan Malaysia mempunyai stok antiviral yang boleh merawat Influenza A (H1N1).
2. Bolehkah antiviral ini memberi perlindungan?
Antiviral ini digunakan untuk memberi rawatan yang berkesan dan tidak memberi perlindungan sepertimana vaksin.
D. Berkenaan Babi dan Influenza A (H1N1)
1. Adakah selamat memakan daging babi dan produk babi?
Ya. Daging babi dan produk babi yang dimasak pada suhu yang betul (160°F/70°C) adalah selamat untuk dimakan.
E. Berkenaan perjalanan ke luar negara
1. Bolehkah kita ke luar negara?
WHO tidak mengeluarkan sebarang larangan perjalanan. Walaubagaimanapun perjalanan yang tidak penting, khususnya ke negara-negara yang dilanda wabak ini perlulah dielak atau ditangguhkan. Jika perjalanan tidak dapat dielak, langkah-langkah perlindungan diri yang sesuai mesti diambil. Mereka yang sakit mesti menangguhkan perjalanan. Sekiranya jatuh sakit setelah pulang, segera dapatkan rawatan.
F. Berkenaan Tahap-Tahap Pandemik
1. Apakah maksud tahap amaran Fasa 5 yang dikeluarkan WHO?
Pada tahap ini telah ada wabak di peringkat komuniti di sekurang-kurangnya 2 negara dalam satu-satu zon/kawasan/ rantau WHO.
2. Apakah yang dimaksudkan dengan jangkitan manusia yang berterusan
(sustained human to human transmission)?
Jangkitan yang berlaku apabila 3 generasi terlibat – iaitu virus disebarkan daripada individu A kepada individu B dan seterusnya tersebar kepada individu C.
3. Apakah perbezaan antara ‘kes berkemungkinan dijangkiti’ (probable case)
dan ‘kes disahkan’ (confirmed case)?
• Kes yang ‘berkemungkinan dijangkiti’ mempunyai gejala-gejala selesema seperti demam, batuk, sakit kepala, lesu; dan sama ada positif kepada ujian influenza A atau mempunyai hubungan dengan kes lain yang ‘berkemungkinan dijangkiti’ atau kes yang telah disahkan.
• Kes yang disahkan adalah kes yang telah disahkan positif melalui ujian makmal.
4. Pada peringkat manakah wabak ini akan diisytiharkan sebagai pandemik?
Pada fasa 6.
Bagi maklumat lanjut, sila hubungi Bilik Gerakan CPRC Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia di talian 03–8881 0200/0300 atau e-mel ke cprc@moh.gov.my
www.moh.gov.my
2021 yang power!
3 years ago
0 comments:
Post a Comment